Monday, July 2, 2018

Tokoh Bahasa Zaman Sebelum dan Selepas Merdeka: Nik Safiah Karim

Nik Safiah Karim
    Lahir pada 17 Disember 1939 di Kampong Banggol, Kota Bharu, Kelantan. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Inggeris Perempuan Kota Bahru (sekarang Sekolah Rendah Zainab), dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Maktab Perempuan Melayu, Jalan Damansara, Kuala Lumpur  (sekarang Kolej Tunku Kurshiah, Seremban) sehingga tamat Scholl Certificate. Setelah lulus Higher School Certificate pada tahun 1959 di St.Francis Institution, Melaka, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya sehingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan kepujian dalam bidang Linguistik (1965). Pada tahun 1975, beliau memperolehi ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Linguistik dari Ohio University, USA. Kerjaya akademiknya bermula sebagai  tutor di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada tahun 1963, diikuti dengan jawatan pensyarah dan professor madya juga di Jabatan yang sama. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Professor Pengajian Melayu. 
     Pada tahun 2002, setelah bersara, beliau diberi penghormatan oleh Universiti Melayu melalui pelantikan sebagai Professor Emeritus. Dalam pentadbiran, beliau telah dilantik ke beberapa jawatan, antaranya Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial sebanyak dua kali (1982-1983 dan 1992-1994), Ketua Jabatan PengajianMelayu (19841986) dan Pengarah pertama Akademi Pengajian Melayu (1990-1992). Pada tahun 1989 hingga 1990, beliau dipinjamkan ke Dewan Bahasa dan Pustaka sebaga i Timbalan Ketua Pengarah. Beliau telah bersara wajib dari Universiti Malaya pada bulan Disember 1994 tetapi telah disambung secara kontrak dengan memegang Kursi Pengajian Melayu sehingga Disember 1999. Beliau seterusnya diiktiraf sebagai Professor Adjung sehingga akhir tahun 2000. Beliau amat aktif dalam badan-badan professional.  Nik Safiah Karim jadi pakar bahasa Melayu walaupun mendapat pendidikan Inggeris sepanjang zaman persekolahan. 
     Berbicara mengenai tokoh bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, tidak banyak yang perlu diulas, kerana masyarakat umum sudah tahu dirinya, kelebihan, semangatnya dalam memperjuangkan bahasa. Soal sumbangannya dalam bidang bahasa tidak perlu dipersoalkan kerana anugerah sebagai Profesor Emeritus oleh Universiti Malaya (UM) serta anugerah Pingat Emas Tun Fatimah yang disampaikan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Siti Aishah pada 2002 sudah menggambarkan segala-galanya. Jika dihitung anugerah atau pencapaian dirinya, terlalu banyak yang boleh dihuraikan, hinggakan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA) mengeluarkan sebuah buku mengenai hidupnya berjudul„Nik Safiah Karim - Meniti Dua Zaman‟ hasil tulisan Nurhafilah Musa. Cuma mungkin ramai yang tidak mengetahui, tokoh wanita berusia 68 tahun ini sebenarnya tidak pernah mengikuti pengajian di sekolah Melayu dan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu sepanjang zaman persekolahannya sehingga ke peringkat universiti. 
     Bagaimana ini boleh berlaku sedangkan beliau adalah pakar bahasa. Inilah suatu yang menarik untuk dikongsi mengenai kelebihan yang dimiliki anak bongsu daripada lima beradik dan kini bergelar nenek kepada 11 cucu. Beliau sebenarnya hidup di dua zaman, dilahirkan sebelum merdeka, membesar dan menyumbang dalam zaman selepas merdeka dan kini menikmati hidup selepas 51 tahun negara merdeka.  Pada usia kanak-kanak, beliau cukup bertuah kerana dilahirkan  dalam keluarga yang mementingkan pendidikan tanpa mengira jantina. Ketika itu, anak perempuan tidak begitu digalakkan ke sekolah dan dianggap cuma layak berada di dapur. Namun, bapanya, Abdul Karim Abdul Malek iaitu anak seorang ulama tersohor Kelantan dikenali sebagai Tok Malek Sungai Pinang yang berkahwin dengan seorang lagi anak ulama, Haji Che We ( Ismail ), Nik Mas ( Ibu Nik Safiah ) memang dikenali sebagai seorang yang mementingkan pendidikan. 
       Ketika kecil, Nik Safiah sering menghabiskan masa di rumah membaca buku koleksi bapanya dalam bahasa rumi dan jawi. Sebagai anak bongsu, beliau sering ditinggalkan abang-abangnya dan dibiarkan bermain sendirian di rumah dan buku menjadi teman hidupnya. Ringkasnya, beliau dihantar ke Sekolah Inggeris Perempuan Kerajaan (GGES) di Kota Bharu, Kelantan untuk mendapat pendidikan Inggeris pada 1948 sebelum melanjutkan pelajaran ke Kolej Perempuan Melayu (MGC), Kuala Lumpur pada 1953. Kemasukannya ke MGC adalah pilihan guru besar sekolah rendah, Miss Leicester yang memilihnya sebagai calon tunggal murid perempuan Kelantan untuk dihantar ke sana  yang ketika itu terletak di Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke Negeri Sembilan dan dikenali sebagai Kolej Tunku Kursiah (TKC). Sepanjang tempoh itu, bekas gurunya itu sentiasa memantau dan bertanyakan perkembangan dan kemajuannya di MGC sehingga menduduki peperiksaan Sijil Sekolah Cambridge pada 1957. Ketika di MGC, beliau mula menulis puisi dalam Bahasa Inggeris yang tersiar dalam majalah sekolah yang memperlihatkan kecenderungannya terhadap bahasa melalui penulisan. 
      Setahun kemudian, beliau melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam di St Francis Institution, Melaka sebelum menjadi guru sementara di Sekolah Inggeris Redang, Kampung Banggol. Sepanjang tempoh itu hingga melanjutkan pelajaran di UM pada 1960, beliau tidak pernah mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu tetapi mengikutikesusasteraan Inggeris. “Memang ini berlaku dalam sejarah pendidikan saya yang tak pernah ke sekolah Melayu. Ketika di Tingkatan Enam, sekolah itu tidak menyediakan mata pelajaran Bahasa Melayu. Sekolah itu hanya tawarkan mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sastera Inggeris, Ekonomi, Sejarah dan Geografi.“Apa bila masuk universiti, barulah saya mengambil kursus Pengajian Melayu tetapi saya sebenarnya mengikuti pengajian ekonomi. Pada tahun kedua dan ketiga, barulah saya membuat pengkhususan dalam Bahasa Melayu. “Memang agak pelik kerana saya cukup berminat dengan Bahasa Melayu walaupun tak pernah belajar pada peringkat sekolah. Alhamdulillah, saya boleh lulus dengan baik dan mampu menjadi pakar dalam bidang ini,” katanya. 
     Persoalannya ialah bagaimana keadaan ini boleh berlaku kerana beliau mempunyai latar belakang pendidikan Inggeris dan banyak didedahkan buku tulisan karyawan Inggeris seperti Shakespeare, Wordsworth dan Keats. Jelasnya, ketika di sekolah menengah, beliau dididik seorang guru sastera Inggeris yang sangat pandai mengajar dan pendedahan itu ditambah lagi dengan kehadiran seorang lagi guru drama Inggeris. “Cantuman guru sastera dan drama Inggeris itu dapat memupuk keupayaan mengungkap mengenai sastera dalam Bahasa Inggeris. Saya menjadi pandai melalui bahasa, apabila belajar Bahasa Inggeris, saya juga tertarik dengan Bahasa Melayu. “Mata pelajaran pengajian Melayu adalah ilmu linguistik yang amat teknikal tetapi boleh dipelajari melalui buku. Walaupun saya tidak mendapat pendedahan sebelumnya, saya anggap ia sebagai ilmu baru yang sangat menarik. “Sebab itulah saya katakan, jika hendak belajar bahasa, kena belajar sastera tanpa mengira bahasa apa pun. Saya terdedah kepada sastera Inggeris tetapi dapat belajar dan menghayati sastera Melayu. Konsepnya hampir sama dan ramai orang tidak faham mengenai halini. “Sastera ialah kelahiran buah fikiran dan perasaan melalui rasa, kalau tak pandai bahasa, kita tak boleh hasilkan bahan sastera yangba ik,” katanya. 
      Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim merupakan antara tokoh dan cendekiawan tanahair yang aktif memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu. Dedikasi beliau yang tidak boleh dinafikan menjadikannya disegani ramai dan menjai idola kepada anak-anak muda di institusi pengajian tinggi yang mengikuti bidang linguistik dan sastera. Namun selain perjuangan lingustik ini, beliau juga gigih memperjuangan kedudukan serta kebajikan kaum wanita tanahair.  Antara sumbangan beliau dapat dilihat dari jawatan yang beliau sandang, antaranya Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial sebanyak dua kali iaitu di antara 1982 sehingga1983 dan 1992 sehingga 1994 , Ketua Jabatan Pengajian Melayu dari tahun 984 sehingga 1986 dan Pengarah pertama Akademi Pengajian Melayu dari tahun 1990 sehingga 1992.  Sementara di antara tahun 1989 hingga 1990, beliau telah dipinjamkan ke Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Timbalan Ketua Pengarah. Di sini beliau terus menabur berbakti dalam perjuangan mengutuhkan bahasa Melayu bukan sahaja di tanahair tetapi juga di seluruh dunia. Ini dilihat dari perlantikan beliau selama 14 tahun dalam Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan Ahli Jawantankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) yang mewakili Malaysia di pertemuan Majlis Bahasa Melayu Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia (MABBIM). Selain itu beliau merupakan ahli jemputan dalam Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).  
      Kepakaran beliau telah menjadikan beliau pakar rujuk bahasa yang sering dijemput. Beliau ada memberi khidmat kepada Kementerian Pelajaran Singapura dan Kementerian Pelajaran Brunei Darussalam. Memandangkan kegigihan beliau ini maka tidaklah beliau adalah salah seorang pengasas Persatuan Linguistik Malaysia dan pernah menjadi Presiden selama 18 tahun. Kini beliau menjadi penasihat persatuan tersebut.  Dalam pergerakan wanita, menurut Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, penglibatan beliau dalam pergerakan wanita bukanlah sesuatu yang baru baginya. Kakak-kakaknya giat aktif alam pergerakan Women’s Institute (WI) di Kelantan. Walaupun beliau bukan ahli persatuan tersebut, beliau sering membantu mereka dalam kegiatan mereka. Di sini beliau mendapat pendedahan awal kepada perjuangan wanita. Beliau telah mengasaskan dua buah persatuan wanita., iaitu PERTIWI (Pertubuhan Tindakan Wanita Islam) dan Persatuan Siswazah Wanita Malaysia PERTIWI telah ditubuhkan pada 1967 sebagai sebuah pertubuhan berorientasikan projek di mana pelbagai aktiviti kemasyarakatan, keagamaan dan kebajikan berteraskan pendidikan. Program-program PERTIWI disasarkan bagi wanita dan kanak-kanak terutamanya di kawasan pendalaman. Datuk Dr Nik kini menjadi Ketua I dalam Jawatankuasa Induk. Beliau mengalu-alukan wanita muda Islam menyertai PERTIWI dan bersama PERTIWI menjalankan kerja-kerja amal mereka. Sewaktu menceritakan pengalaman bersama PERTIWI, beliau menekankan bahawa asas pendidikan merupakan teras utama perjuangan PERTIWI. 
     Pada awal 1970-an, PERTIWI telah menjalankan projek anak angkat bagi menyediakan bantuan kewangan kepada para pelajar tanpa mengira bangsa dari keluarga miskin. Pengurusan projek ini melibatkan pihak sekolah. Ini kerana kewangan yang diperuntukan akan diuruskan oleh Guru Besar sekolah bagi pelajar terpilih. Guru Besar dipertanggungjawabkan untuk membuka buku simpanan bank dan menyimpan buku tersebut bagi mengeluarkan kewangan yang perlu. Sumber kewangan diterima daripada sumbangan orang ramai dan dibahagikan mengikut purata RM40 setahun bagi pelajar di peringkat sekolah rendah dan RM60 setahun bagi pelajar di peringkat sekolah menengah. Menurut Datuk Dr Nik, antara penderma adalah Datuk Musa Hitam yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Syarikat Kentucky Fried Chicken.  Selain itu, PERTIWI juga membawa anak-anak angkat ini ke Kuala Lumpur dalam lawatan sambil belajar serta memotivasikan anak-anak ini untuk mencapai kecemerlangan. Anak-anak angkat ini juga berkesempatan bertemu penganjur mereka. Melalui proses ini, anak-anak mengetahui bagaimana merancang pendidikan mereka di samping bercuti semasa cuti sekolah. 
      Menurut Datuk Dr Nik, situasi hari ini sudah bertukar dan kini juga sudah banyak biasiswa dan bantuan kewangan bagi anak-anak dari keluarga miskin yang dihulurkan oleh pelbagai pihak. Ini amat membantu anak-anak dari keluarga miskin untuk mendapat pendidikan.  Antara aktiviti PERTIWI yang lain adalah mengadakan klinik sehari di kawasan luar bandar bagi kawasan yang tidak mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan. Ini kerana masyarakat bertanggapan bahawa terlalu banyak masa terbuang dan amat leceh untuk pergi ke pusat kesihatan untuk menerima rawatan. Atas faktor ini dan lain-lain faktor sosial lain, rancangan klinik sehari ini diilhamkan bagi membantu mereka di kawasan pendalaman bagi menerima perhatian kesihatan. Dengan itu, Pertiwi bekerja bersama pihak Penghulu, doktor-doktor tempatan dan persatuan tempatan untuk mendapatkan tenaga kepakaran dan sukarelawan. PERTIWI bertanggungjawab mencari bantuan kewangan untuk mendapatkan bekalan perubatan dan makanan. Pihak doktor dan jururawat pula memberi perkhidmatan secara sukarela.  
      Antara peristiwa yang tidak dapat Datuk Dr Nik lupakan adalah sesuatu yang berlaku lebih lima tahun dahulu. Ketika itu seorang seorang doktor mata mendapat tahu aktiviti PERTIWI akan melibatkan kampung beliau. Beliau amat terkilan telah bersama secara sukarela dalam aktiviti tersebut. Sewaktu menjalankan klinik sehari tersebut beliau dapati bahawa ramai mempunyai masalan penglihatan samada rabun jauh maupun rabun dekat. Maka secara spontan dana dikumpulkan untuk mendapatkan kaca mata bagi penduduk desa yang memerlukan. Menurut beliau, kegembiraan yang tertera di air muka penduduk terutamanya dari golongan tua yang sebelum itu rabun dan telah boleh lihat dengan jelas tidak dapat dilupakan.  Pada tahun 1978 beliau telah dilantik ke majlis Penasihat Kebangsaan bagi Mengintegrasikan Wanita dalam Pembangunan (NACIWID), sebuah badan penasihat tertinggi bagi menasihati kerajaan tentang hal ehwal wanita. Perlantikan ini adalah setelah pulangnya beliau dari melanjutkan pendidikan di USA. Setelah penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita (kini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat), nama badan tersebut telah diubah kepada Majlis Penasihat Wanita Negara. Beliau sehingga kini memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi Majlis. Beliau juga giat dalam Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) dalam pelbagai aktiviti. Kini beliau merupakan pengerusi bersama Suruhanjawa Undang-undang dan Hak Asasi Manusi bersama Puan F.R. Bhupalan. Pengiktirafan dan anugerah yang diterimanya, daripada kegigihan Datuk Dr. Nik yang tidak pernah mengira penat amatlah disegani ramai. 
     Atas jasa dan sumbangannya, beliau telah diberikan anugerah dan bintang. Pada tahun 1989 beliau dikurniakan pingat Kesatria Mangku Negara (KMN). Seterusnya pada tahun 1995 beliau menerima kurniaan Johan Mangku Negara (JMN). Manakala pada tahun 1997 beliau telah dikurniakan Johan Panglima Negara (JPN) yang membawa gelaran Datuk.  Beliau juga telah menerima Anugerah Wanita Cemerlang Tan Sri Fatimah-Avon bagi kecemerlangan dalam bidang pendidikan sebagai Ibu Ilmuwan pada 1995. Kecemerlangan yang berjaya dicapai juga menjadi kebanggaan sekolah beliau. Dalam Perayaan sempena 50 Tahun Maktab Perempuan Melayu/Kolej Tunku Kurshiah pada 1997 belaiu telah dianugerahkan wanita cemerlang. Sumbangan dalam bidang bahasa juga diiktiraf dengan anugerah Tokoh Ilmuwan Bahasa dan Pingat Emas Tun Fatimah pada tahun 2001. Beliau juga juga diiktirafkan oleh pihak Universiti dengan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2003. Tambahan pula setelah beliau bersara, Universiti Melayu memberi penghormatan melalui pelantikan beliau sebagai Professor Emeritus pada 2002.  
     Dalam bidang penulisan, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim juga telah banyak menyumbang dalam bentuk penulisan dan penyertaan dalam persidangan samada mengenai isu wanita maupun isu bahasa. Beliau telah menghasilkan beberapa buah buku tentang pengajian wanita dan pada masa kini menjadi pensyarah sambilan di Rancangan Pengajian Gender, Universiti Malaya. Sejak kebelakangan ini, beliau telah berganding bahu bersama Dr. Rokiah Talib dalam penulisan biografi wanita tanahair. Tindakan ini amat bermakna kerana merupakan satu inisiatif wanita menulis mengenai sumbangan wanita. Beliau juga telah menghasilkan belasan buah buku dan ratusan makalah mengenai isu bahasa. Antara buku yang terkenal ialah Tatabahasa Dewan (yang ditulis bersama tiga orang ahli bahasa yang lain), Bahasa Malaysia Syntax, Beberapa persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu dan Malay Grammar for Academics and Professionals. 

No comments:

Post a Comment