Sumbangan penjajah barat dalam pertumbuhan dan penyebaran bahasa Melayu berlaku ketika zaman kegemilangan Eropah yang bertapak di Tanah Melayu sebagai penjajah. Dalam zaman Eropah ini, kita dapat lihat beberapa sifat tersendiri dalam perkembangan bahasa Melayu. Pada tahun 1511, Kerajaan Melayu Melaka telah jatuh ke tangan Portugis. Menurut Ismail Hussein (1966), orangorang Portugis datang ke Asia pada akhir abad kelima belas membawa dua cita-cita yang bergelora: pertama untuk memerangi Islam dan kedua untuk merompak kekayaan alam Timur, terutama sekali perniagaan rempah di Kepulauan Melayu. Apabila orang-orang Eropah menempuh Lautan Kepulauan Melayu, buat pertama kalinya, bahasa Melayu sudah mempunyai tradisi sebagai bahasa perantaraan dan bahasa pemerintah selama lebih daripada delapan abad (Ismail Hussein, 1966:36). Kerajaan Melayu Melaka memang dikenali sebagai sebuah kerajaan yang terkenal pada waktu itu. Bahasa Melayu dijadikan bahasa utama atau bahasa pengantar bagi semua urusan yang dijalankan di Melaka seperti berdagang dan urusan pentadbiran.
Apabila Portugis tiba di Melaka, didapati bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa yang digunakan di situ. Hal ini menyebabkan penjajah barat mempelajari dan fasih berbahasa Melayu serta telah menjadi sumber kepada pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu. Terdapat pelbagai bukti yang dijumpai serta dapat membuktikan sumbangan atau tinggalan penjajah barat dalam perkembangan bahasa Melayu. Menurut Ph.S.V.Ronkel dalam Ismail Hussein (1966), bahasa Melayu ketika itu sudah mempunyai kedudukan yang luar biasa di tengah-tengah bahasa daerah Kepulauan Melayu yang demikian banyaknya. Pada tahun 1521 buat pertama kalinya, kapal orang-orang Sepanyol telah dapat ke Tidore, iaitu salah sebuah Pulau Maluku. Kapal tersebut yang diketuai oleh Magellan adalah dalam pelayarannya mengelilingi dunia. Ketika kapal “Victoria” itu berlabuh di situ, seorang daripada ketua kelasinya bernama Pigafetta turun ke darat mempelajari bahasa perdagangan yang digunakan di daerah tersebut, iaitu bahasa Melayu, dan hasilnya tersusunlah sebuah daftar kata Itali-Melayu (Ismail Hussein, 1966:36). Beliau juga dikatakan seorang berbangsa Itali dari Vicenta yang telah menyusun daftar kata Melayu-Itali dalam tahun 1522 yang diperolehi melalui pelayarannya selama tiga tahun bersama-sama Ferdinand Magellan ke Kepulauan Filipina dan Maluku sekitar tahun 1519.
Daftar kata Melayu sebanyak 400 perkataan merupakan kamus pertama Melayu-Itali yang diberikan nama Vocaboli De Quedti Popoli Mori. Seorang lagi penjajah barat ialah Francois Valentyn. Velentyn merupakan seorang pendeta dan ahli sejarah berbangsa Belanda. Beliau telah menulis buku bertajuk Oud en Nieuw Oostindien II Del V pada akhir abad ke-17 dan awal abab ke-18 tentang bahasa Melayu (A.Aziz Deraman dalam Darwis Harahap dan Abdul Jalil Hj. Anuar, 2000:3). Dalam buku tersebut, dinyatakan bahawa bahasa Melayu telah terbukti berupaya bertindak sebagai alat komunikasi dan lingua franca yang penting di Melaka. Penulis enam jilidnya itu telah menerangkan tentang sejarah dan scenario kota pelabuhan di Kepulauan Melayu. Antara catatan tersebut ialah:
“Bahasa mereka, iaitu bahasa Melayu… bukan sahaja digunakan
di pantai-pantai Tanah Melayu bahkan juga di seluruh India dan di negeri-negeri
sebelah timur. Barang di mana-mana pun bahasa ini difahami oleh tiap-tiap
orang. Bahasa ini adalah sebagai bahasa Perancis atau Latin di Eropah ataupun
macam bahasa perantaraan di negeri Itali atau di Levent. Oleh kerana banyaknya
bahasa ini digunakan maka seseorang yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu
akan dapat difahami orang baik pun dalam negeri Parsi (Persia) ataupun
Filipina.” (A.Aziz Deraman dalam Darwis Harahap dan Abdul Jalil Hj. Anuar,
2000:3).
Catatan di atas
merupakan salah satu daripada catatan tentang kemajuan dan perkembangan bahasa
Melayu. Catatan tersebut juga merupakan salah satu sumbangan penjajah barat
dalam pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu. Minat orang barat membuat
kajian terhadap bahasa Melayu turut membantu pertumbuhan dan penyebaran bahasa
Melayu. Antaranya ialah Frederick de Houtman yang telah menyusun perkataan dan
ayat bahasa Melayu Madagaskar. Bahan ini disusunnya semasa ia ditawan oleh
pemerintah Aceh dalam tahun 1599-1602 M (Darwis Harahap, 1992:34). Menurut
Darwis Harahap (1992), kamus ini pertama kali dicetak di Amsterdam pada tahun
1604 M dan dicetak semula pada tahun 1673 M. Buku ini dicetak lagi di Batavia
(kini Jakarta) pada tahun 1707 M. Buku ini kemudiannya diterjemahkan oleh
Gotardos Arthus pada tahun 1608 M. Buku ini dicetak untuk kali kedua pada tahun
1614 M, dan diterjemahkan pula ke dalam bahasa Inggeris oleh Augustine Spalding
di London pada tahun 1624 M. Setelah beberapa pengubahsuian dan penterjemahan
dilakukan ke atas kamus ini, pada tahun 1708 M seorang pengkaji Barat, Petrus
Van de Worm berpendapat bahawa kamus ini merupakan kamus Melayu-Belanda yang terbaik
(Darwis Harahap, 1992:34). Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa penjajah
barat memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan penyebaran bahasa Melayu
melalui karya-karya yang dihasilkan dengan menggunakan bahasa Melayu.
Orang barat juga berperanan dalam penggunaan dan penyebaran
bahasa Melayu melalui kegiatan agama. Kegiatan dakwah oleh orang-orang Portugis
adalah dalam memperjuangkan dan menyebarkan ajaran agama Kristian. Dalam
penyebaran ajaran ini, orang-orang Portugis menentang agama Islam dan cuba
menarik perhatian penduduk untuk mendalami ajaran Kristian. Persoalannya di
sini, bahasa apakah yang digunakan oleh mereka dalam menyebarkan agama
Kristian. Jika bahasa Portugis yang digunakan adalah mustahil mesej mereka akan
difahami oleh penduduk setempat. Menurut Ismail Hussein (1966), untuk menarik
penduduk asli supaya memeluk agama Kristian, SaintFrancis Xavier yang menentang
Islam di Kepulauan Maluku dalam abad keenam belas, telah menuliskan
keterangannya tentang kepercayaan Kristian dalam bahasa Melayu. Beliau
bertindak begitu adalah kerana pendapatnya bahawa bahasa Melayu diketahui oleh
semua orang. Oleh itu, jelaslah bahawa penjajah telah menggunakan bahasa Melayu
dalam penyebaran agama mereka. Ini seterusnya menjurus kepada pertumbuhan dan
penyebaran bahasa Melayu oleh pihak penjajah.
Penjajah barat juga turut menggunakan bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar dan pemerintahan atau bahasa politik. Pihak penjajah seperti
Portugis menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam segala urusan
termasuk urusan pentadbiran dan politik. Oleh itu, dapat kita lihat kepentingan
bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan di Kepulauan Melayu. Sungguhpun
orang-orang Portugis mencuba menaikkan bahasa mereka, tetapi dalam urusan
pemerintahan, bahasa Melayu tetap digunakan dari timur hingga ke barat. Pada
abad ke-16, raja-raja di daerah Maluku menulis surat kepada raja Portugis
dengan menggunakan bahasa Melayu. Begitu juga dengan Raja Aceh dan
pegawai-pegawainya yang menggunakan bahasa Melayu dalam segala hal seperti
dalam surat kiriman kepada pemerintah luar, surat perjanjian atau surat
kebenaran berniaga dan sebagainya (Ismail Hussein, 1966:38). Dalam hal ini,
jelas bahawa pihak penjajah berperanan dalam pertumbuhan dan penyebaran bahasa
Melayu. Bahasa Melayu memiliki kepentingan yang cukup dominan serta berperanan
sebagai bahasa pengantar, pemerintahan dan politik semasa penjajahan barat di
Kepulauan Melayu.
Pada abad ke-19, penjajahan Eropah ke Kepulauan Melayu
semakin rancak. Di Singapura, Stamford Raffles merupakan penjajah barat yang
telah melakukan pelbagai perubahan. Beliau juga merupakan seorang lagi penjajah
barat yang berperanan secara tidak langsung dalam pertumbuhan dan penyebaran
bahasa Melayu. Menurut Ismail Hussein (1966), Stamford Raffles mendirikan
Raffles Institution di Singapura dan bercita-cita menggunakan bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar. Di Indonesia pula, Gabenor Jeneral Rochussen telah
mengelilingi Pulau Jawa pada tahun 1950. Beliau kemudiannya mengemukakan usul kepada
Pemerintah Belanda untuk mendirikan sekolah-sekolah bagi bangsa bumiputera, dan
mencadangkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah itu.
Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa bahasa Melayu penting dalam sistem
pendidikan walaupun semasa penjajahan Barat.
Sebagai kesimpulannya, penjajah barat bukan sahaja menjajah
kepulauan Melayu, malah secara tidak langsung mereka berperanan dalam
pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu. Apa yang penting ialah penjajah
Barat tidak menghapuskan bahasa Melayu sebaliknya telah menggunakan bahasa
Melayu untuk tujuan perdagangan dan penyebaran agama Kristian.
No comments:
Post a Comment