Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi
Abdullah bin
Abdul Kadir Munsyi atau lebih dikenali sebagai Abdullah Munsyi, dilahirkan di
Kampung Masjid, Melaka. Beliau banyak menghabiskan masanya di Singapura kerana
mengajar bahasa Melayu kepada orang-orang Inggeris seperti Sir Stamford Raffles, Paderi Thomsen, Paderi Milne, Paderi
Keasberry, Crawford dan lain-lain.
Antara karya-karya dan penulisan yang dihasilkan ialah;
• Syair
Singapura Terbakar (1830).
• Kisah
Pelayaran Abdullah (1838).
• Hikayat
Abdullah (1849).
• Kisah
Pelayaran Abdullah Ke Jeddah (1854).
• Dewa
ul-Khulub (1883).
• Majalah
Bustan Arifin
Abdullah Munsyi turut menterjemahkan karya dalam bahasa
Hindi dan Inggeris. Antaranya Hikayat Panca Tenderan ke dalam bahasa Melayu
yang diberi judul Hikayat Kalidah dan Daminah yang dilakukan pada tahun 1835. Abdullah
Munsyi juga telah memperbaiki Sejarah Melayu dan Kitab Adat Segala Raja-Raja
Melayu Dalam Segala Negeri. Beliau bukan sahaja memperlihatkan perkembangan
bahasa Melayu dalam karya kesusasteraan malah turut menyedari betapa pentingnya
buku nahu bahasa Melayu.
Baginya, nahu sesebuah bahasa bukanlah dapat
menyelesaikan seratus peratus masalah bahasa. Hal ini lebih diperkuatkan lagi
apabila nahu sesuatu bahasa dikaji oleh orang asing yang bahasa ibundanya bukan
bahasa Melayu dan tujuan membuat kajian tersebut bukanlah berdasarkan kajian
ilmiah tetapi kerana kepentingan tertentu. Ia melihat bahawa nahu bahasa Melayu
yang dibuat oleh orang asing itu hanyalah satu pengubahsuaian nahu bahasa
mereka sendiri yang cuba diserapkan ke dalam bahasa Melayu. Oleh kerana itulah
beliau mengatakan: “Sebermula hendaklah engkau ketahui, janganlah tersalah
faham. Maka jikalau ada nahu bahasa Melayu itu niscaya meringankan pekerjaan
sahaja gunanya, jangan engkau sangkakan boleh menjadi pandai dalam pekerjaan
karang-mengarang. Maka sungguhpun diletakkan hukumnya maka ada juga lagi
beberapa perkataan yang tiada menurut hukum itu. Umpamanya jikalau seratus hukum
itu barangkali tujuh puluh sahaja yang masuk dalam hukum itu, dan yang tiga
puluh itu di luarnya”.
Di samping itu, jika kita membuat perbandingan antara
bahasa Melayu sebelum Abdullah dan bahasa yang digunakan oleh Abdullah ternyata
terdapat perkembangan. Buktinya adalah seperti bahasa yang terdapat dalam
petikan yang berikut ini: “Bahawa ini
Kisah Pelayaran Abdullah Abdul Kadir Munshi kepada tarikh sanat 1253 tahun.
Maka bahawa sesungguhnya kepada tahun itu adalah barang saudagar-saudagar orang
China dan orang Yahudi yang duduk dalam negeri Singapura, kira-kira sepuluh dan
dua belas orang, telah memberi sambutan dagangan kepada China sampan pukat
empat buah, kira-kira empat lima puluh ribu ringgit banyaknya, akan dibawanya
ke negeri Pahang dan Trengganu dan Kelantan, Patani dan Senggora” (Kasim Ahmad,
1981: 1).
Perkembangan bahasa Melayu
yang diperlihatkan Abdullah dinyatakan oleh Li Chuan Siu sebagai “Menciptakan
perkataan-perkataan atau ungkapan baru dalam bahasa Melayu untuk mempercakapkan
hal-hal atau benda-benda baru yang timbul kerana pertemuan antara kebudayaan
Timur dan Barat” ( Li Chuan Siu, 1972: 8). Perkembangan bahasa yang dibawa oleh
Abdullah bukanlah satu perkara yang menghairankan kerana beliau telah mendapat
pendidikan Inggeris berbanding sasterawan sebelumnya yang rata-rata mendapat
pendidikan Arab.
Menurut Zahir Ahmad dan Mohd Taufik Arridzo Mohd Balwi, 2006,
bahasa dan gaya tulisan Munshi Abdullah juga lebih jelas, tepat dan tajam dan
menggunakan bahasa biasa. Beliau tidak menulis kisah-kisah khayalan yang tidak
diterima akal, tetapi mengemukakan idea beliau sendiri. Beliaulah yang
memperkenalkan bidang percetakan dan penerbitan buku pada pertengahan abad
ke-19 yang membawa perubahan besar kepada dunia.
No comments:
Post a Comment