Monday, July 2, 2018

TOKOH ZAMAN BAHASA MELAYU PRAMODEN: Pengiran Muhammad Salleh


Pengiran Muhammad Salleh 

 Abad ke-19 merupakan zaman yang amat menyedihkan kerana hampir pupus semua wilayah Brunei ke tangan Inggeris. Pada saat inilah juga cendekiawan Brunei, Pengiran Shahbandar Pengiran Mohd. Salleh mencipta sebuah syair yang menimbulkan berbagai-bagai penafsiran sehingga nyawanya sendiri terkorban. Syair Rakis dipercayai dikarang pada tahun 1840-an. Pengiran Shahbandar Pengiran Mohd. Salleh mengarang syair ini semasa perjalanan pulang ke Brunei dari Mukah yakni tempat beliau membawa diri. Sesampainya ke Brunei dipersembahkannya kepada Sultan sebagai buah tangan. 

                Pengiran Muhammad Salleh atau nama sebenarnya Pengiran Syahbandar Pengiran Muhammad Salleh Ibnu Pengiran Sharmayuda diperkirakan hidup di antara abad ke-18 hingga abad ke-19. Beliau telah meninggalkan satu karya yang bersejarah yang diberi judul Syair Rakis. Walaupun tarikh sebenar karya ini ditulis belum dapat dipastikan dengan tepat, tetapi bahasa yang digunakan memperlihatkan perbezaan jika dibandingkan dengan bahasa yang digunakan oleh Abdullah Munsyi dan Raja Ali Haji.  Bahasa yang digunakan dalam Syair Rakis ini lebih tersusun dan pengaruh bahasa Arab tidak begitu ketara. Hal ini dapat dilihat melalui petikan Syair Rakis seperti: “Bismillah itu mula karangan kisah rancana dagang buangan di gunung larangan asmara guna segenap desa pantai saujana membawa nasib untung sendiri masuk segenap desa dan negeri seperti burung lepas tangkapan bunga dan buah tiada dimakan sebut namaku dagang asmara bercarai (bercerai) dengan sanak saudara namaku Misa panji larangan sudah sekarang buang-buangan” (Awang Hj. Mohd Jamil, 1983: 56).  
                Syair ini telah memperlihatkan pengurangan pengaruh kosa kata Arab dalam penghasilan karya ini. Jalan bahasanya juga mudah difahami dan tidak mengelirukan kerana ia sudah menuju ke arah jalan bahasa Melayu yang sebenar. Perkataan “rancana” dan “bercarai” yang terdapat dalam petikan di atas berlaku kemungkinan berpunca daripada masalah pentransliterasian daripada huruf Jawi ke huruf Rumi. Syair Rakis menimbulkan berbagai tafsiran oleh pengkaji sastera dan sejarah. Walaupun karya ini berbentuk lama iaitu syair tetapi isinya mempunyai wawasan dan pandangan terus terang yang sekali gus mencerminkan satu transisi kemodenan. Wawasan atau pandangan atau nasihat yang terdapat dalam syair terhadap bangsa sendiri termasuklah politik, ekonomi, pendidikan dan sosiobudaya Brunei. 


No comments:

Post a Comment