Monday, July 2, 2018

TOKOH ZAMAN BAHASA MELAYU PRAMODEN: Muhammad Ibrahim Munsyi


Muhammad Ibrahim Munshi 

   Muhammad Ibrahim Munshi ialah anak Abdullah bin Abdul Kadir Munshi. Muhammad Ibrahim melanjutkan cita-cita ayahnya iaitu telah menyusun nahu bahasa Melayu. Pada tahun 1878 M, beliau telah menghasilkan karya berjudul Kitab Pemimpin Johor. Buku ini adalah mengenai aturan bunyi bahasa Melayu, penggunaan perkataan dan jalan bahasa Melayu. Kandungan buku ini dapat dilihat dalam pernyataan daripada petikan ini: “Ada pun isi kitab ini menyatakan bahasa dan pancaindera pertuturan serta aturan huruf-huruf dan bunyinya serta gunanya dan perkataan dan perenggan kata di dalam surat-surat Melayu serta syarat-syarat dan huruf-huruf saksi dan gantinya dan petua mengeja dan hubungan huruf- huruf serta pangkat-pangkat bunyinya dan tabi’atnya serta beberapa jenis tandatanda yang patut dipakai , kerana belum ada, serta nama- namanya dan kuasanya dan gunanya dan bahasanya dan tempatnya serta sebab-sebabnya dan sebagainya dengan sempurnanya”( Skinner , C., 1959:41-42).  
  Walaupun beliau telah mendapat didikan Inggeris dan karyanya seperti buku Kitab Pemimpin Johor lebih beracukan bahasa Inggeris, namun dari segi penggunaan bahasanya dilihat masih banyak dipengaruhi oleh struktur bahasa Arab dan sedaya- upaya mengelakkan penggunaan perkataan yang keinggerisan. Hal yang sama ini juga dapat dilihat dalam karyanya bertajuk Kisah Pelayaran Muhammad Ibrahim Munsyi (1872 M). Perhatikan petikan kisah tersebut seperti “Shahdan setelah kami singgah di situ sejurus lamanya, dengan hairanku melihat hal sami-sami itu membaca-membaca dan sembahyang membawa perempuan-perempuan itu menyembah berhalanya itu, lepas seorang seorang, dengan terlalu hormat dan yakin mereka itu dan adalah pula di situ beberapa jirat-jirat mereka itu daripada batu jua” (Skinner, C.1959:43).  Perkataan membaca-membaca yang terdapat dalam petikan itu wujud kerana peraturan Arab yang menggandakan perkataan dalam tulisan Jawi yang menggandakan angka dua ( 2 ) dan tiada penggunaan tanda sempang di antara perkataan. 
  Oleh itu, apabila melalui proses transliterasi ia menghasilkan perkataan seperti di atas walaupun cara menyebutnya dan maksudnya ialah membacabaca. Pengaruh nahu Arab dalam proses penggandaan ini dapat dilihat juga pada perkataan lain seperti dalam perkataan sami-sami, perempuan-perempuan, dan jirat-jirat. Pengaruh penggandaan bagi menjelaskan maksud jamak ini masih terbawa-bawa hingga hari ini walaupun terdapat segelintir ahli bahasa terdahulu yang menganggap penggandaan bagi maksud jamak dalam bahasa Melayu tidak berapa tepat.  Muhammad Ibrahim Munshi telah menubuhkan satu organisasi yang diberi nama Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa pada tahun 1888 M. Tujuan organisasi ini dibentuk adalah untuk mengkaji dan mempelajari bahasa Melayu supaya pengetahuan bahasa Melayu itu lebih mudah disebarkan kepada orang Melayu. Usaha utama organisasi ini ialah menterjemahkan istilah atau perkataan dariada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Antara perkataan yang dicipta oleh badan ini dan kekal hingga ke hari ini adalah seperti setiausaha, pejabat, dan kerjaraya. Kemudian, pada tahun 1934 M nama pertubuhan ini telah ditukar menjadi Pakatan Bahasa Melayu dan Persuratan Buku-buku Di-Raja dan dipimpin oleh Dato’ Abdul Rahman bin Andak (Annas Haji Ahmad, 1982:214). 

No comments:

Post a Comment